8 Panduan Mudah Ketahui Tanda Bersalin

tanda-tanda bersalin

Mengetahui tanda-tanda awal bersalin adalah penting untuk dititikberatkan. Dengan demikian, anda dapat melakukan persediaan bagi menghadapi proses kelahiran yang bakal berlangsung terutamanya setelah kehamilan melepasi usia 38 minggu. Walau bagaimanapun, perlu anda maklumi bahawa pengalaman sakit bersalin yang dialami nanti adalah berbeza antara seorang wanita dengan wanita yang lainnya.

1) Sakit belakang
Sakit belakang sering menjadi masalah utama wanita hamil. Dalam masa yang sama, ia juga adalah salah satu petanda awal kelahiran. Sakit ini semakin lama semakin kerap dan kuat. Ia akan menjadi lebih teruk pada bhagian bawah belakang. Keadaan ini berlaku kerana bayi dalam kandungan beralih kedudukan dan menekan tulang belakang.

Sementara itu, bagi mengurangkan rasa sakit belakang yang dialami, posisikan diri anda seperti merangkak, kemudian angkat atau tinggikan badan ke atas. Lakukan sehingga kiraan lima. Ulangi langkah yang sama untuk beberapa kali. Selain itu, anda juga boleh mengurangkan rasa kesakitan dengan banyak berjalan. Malah, ia juga boleh membantu mempercepatkan proses kelahiran. Jika sukar untuk berjalan, minta suami urut bahagian belakang semasa anda berbaring secara mengiring.

2) Kontraksi rahim
Kontraksi adalah tanda awal dan isyarat paling penting yang menunjukkan sudah tiba masanya untuk anda bersalin. Kontraksi adalah rasa tegang pada perut malah kadang-kadang anda akan berasa sakit di bahagian tengah perut sehingga ke bahagian ari-ari. Sekiranya sudah mengalami kontraksi, cuba perhatikan dan catatkan jarak masa di antaranya. 

Kontraksi sebenar berlaku secara teratur pada jarak yang konsisten. Jika kontraksi yang dialami berlaku  setiap lima minit dan perut mengeras dalam masa 20 hingga 45 saat setiap kali, secara teratur dan semakin kerap, segera bergegas ke hospital pilihan agar anda boleh mendapatkan pemantauan daripada doktor yang memeriksa kehamilan. Perlu diingatkan bahawa Braxton Hicks tidak sama dengan kontraksi sebenar. Ia kurang menyakitkan, tidak teratur dan lama-kelamaan akan hilang sendiri.

3) Bloody show
Terdapat segelintir wanita yang mengalami tanda berupa lendir pekat bercampur darah yang keluar daripada faraj. Lendir ini merupakan pluk mukus seperti gam lekang dan keluar dari laluan pintu rahim apabila serviks mula menipis. Perlu diketahui, apabila lendir ini keluar, ia bererti bayi sudah bersedia bergerak ke salur peranakan.

Lendir ini terhasil dapat menghalang sebarang kemasukan benda asing ke dalam serviks. Lendir yang sama juga menghalang kuman yang mungkin ada daripada mengenai bayi. Sehubungan itu, jika mengalami tanda sebegini, anda tidaklah perlu tergesa-gesa untuk ke hospital. Hal ini kerana tanda seperti ini mengambil masa tertentu sebelum anda melalui proses kelahiran. Ia boleh berlaku beberapa jam atau beberapa hari sebelum bersalin.

4) Pecah ketuban
Kebiasaannya keadaan ini berlaku apabila ada lelehan air yang keluar dari faraj dalam jumlah yang banyak. Air yang keluar itu seharusnya jernih dan tidak berwarna. Sebaliknya, jika air itu berwarna hijau, itu menandakan bayi sudah pun membuang air besar ketika masih berada dalam kandungan.

Ramai wanita hamil yang keliru tentang perbezaan air ketuban dan air kencing. Untuk pengetahuan, air ketuban keluar tanpa anda mengalami rasa ingin membuang air kecil. Air ini berwarna jernih dan tidak berbau. Tidak seperti air kencing yang berwarna kuning dan berbau hancing.

Apabila mengalami tanda seperti ini,sebaik-baiknya anda perlu segera berangkat ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Jika dibiarkan terlalu lama, ia boleh menyebabkan jangkitan kuman. Sementara itu, menurut kajian kebanyakan wanita tidak pecah ketuban sehinggalah di saat-saat akhir proses bersalin. Apa yang kerap berlaku ialah doktor yang akan memecahkan ketuban anda untuk mempercepatkan proses bersalin.

5) Serviks terbuka
Sebaik sahaja kontraksi berlaku, pangkal rahim anda akan menjadi lebih lembut dan lebih nipis. Walau bagaimanapun, hanya doktor yang berupaya mengetahui perubahan serviks semasa pemeriksaan faraj dilakukan. Pembukaan di bahagian pangkal rahim dapat dikesan dengan skala 1sm hingga 10sm.

6) Perut memulas
Disebabkan bayi sudah mula bergerak ke saluran peranakan, ia akan memberi tekanan kepada saluran yang dikhususkan untuk membuang air besar. Sesetengah wanita akan mengalami keadaan di mana kerap ke tandas kerana terasa ingin membuang air besar. Anda dinasihatkan agar berhati-hati dan prihatin dengan tanda seperti ini kerana dikhuatiri timbul kejadian tidak diingini seperti bersalin di dalam tandas umpamanya.

7) Perut "turun"
Perut anda akan kelihatan membuncit di bahagian bawah, manakala bahagian atas terasa ringan atau kosong. Keadaan ini menandakan bayi sudah mula turun ke bawah dan memasuki saluran peranakan. Hal ini biasanya berlaku di sekitar dua minggu sebelum kelahiran.

8) Kerap membuang air kecil
Apabila bayi mula bergerak ke bawah, sudah pasti ia akan memberi tekanan pada pundi kencing. Atas sebab itulah, anda akan mula kerap berasa hendak membuang air kecil.

PERINGATAN
Walaupun tanda-tanda yang dinyatakan ini merupakan petanda awal bersalin, namun anda tetap perlu segera ke hospital sekiranya mengesyaki bayi kurang bergerak. Dikhuatiri bayi lemas dalam kandungan. Dalam tempoh 12 jam, bayi perlu bergerak sekurang-kurangnya 10 kali. Jika secara tiba-tiba, anda mendapati bayi kurang bergerak segeralah ke hospital walaupun tidak mengalami tanda awal bersalin.

Amalan sepanjang menunggu bersalin
  • Mengamalkan surah maryam, surah al-anbiya' ayat 87, surah al-baqarah ayat 255, surah al-a'raf  ayat 54, surah al-falaq dan surah an-nas.
  • Mengamalkan zikir asmaul-husna: Ya Dzal Jalaali Wal Ikram yang bermaksud Yang Maha Memiliki Keagungan dan Kemuliaan.
Sumber: Pa & Ma, Febuari 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan