Makanan Pejal Pertama Si Manja


Kementerian Kesihatan menyarankan supaya ibu menyusukan bayi sehingga usia enam bulan. Selepas tempoh itu, susu badan sahaja tidak mencukupi bagi memberikan bayi nutrien terutamanya zat besi. Tambahan pula, cara ini dapat meminimumkan risiko tindak balas terhadap makanan dan alergi kepada bayi.

Selain itu, tanda bayi sudah bersedia untuk makan ialah bayi cuba untuk mengambil makanan di dalm pinggan atau yang dimakan oleh ibu bapanya. Jadi inilah masa sesuai untuk memperkenalkan makanan pejal.

Terdapat beberapa perkara yang mesti diambil tahu sebelum memberi anak makan. Ikuti panduan seperti berikut:

1) Pastikan bayi selesa
Bayi dipangku untuk memberi keselesaan semasa makan. Pastikan bahagian kepala ditinggikan supaya bayi dapat makan dengan baik. Gunakan bib dan letakkan bayi dalam kerusi makan bayi setiap kali waktu makan tiba.

2) Makanan sesuai
Pastikan makanan pertama lembut dan tidak berperisa. Lazimnya bayi baru menyukai bubur nasi dan puri sayur-sayuran dan buah-buahan yang dikisar halus. Elakkan makanan manis untuk si manja anda.

3) Makanan tidak panas
Makanan tidak panas dan tidak sejuk. Cukup sekadar suam sahaja. Beri anak makanan sedikit demi sedikit. Ia mengajar anak menelan makanan.

4) Bersabar
Memberi suapan makanan kepada anak memerlukan kesabaran.Ini kerana ada sesetengah bayi menunjukkan aksi menolak makanan kerana sukar menerima perkara baru.

5) Jaga kebersihan
Pastikan semua peralatan makanan anak dicuci dengan bersih. Ia bertujuan untuk mengelak bayi sakit perut. Juga makanan bayi yang tidak habis, harus terus dibuang.

6) Bayi betul-betul lapar
Waktu lepas bangun daripada tidur adalah waktu tepat menyuap makanan si manja. Biasanya waktu pagi antara jam 10 sehingga 11 pagi. Ketika ini bayi lapar. Supaya bayi tidak terkejut, beri sedikit susu dahulu sebelum memberi makanan.

Tahukah anda?
Bayi dilahirkan dengan simpanan zat besi yang mencukupi. Dalam masa yang sama susu ibu turut membekalkannya. Tetapi setelah bayi berusia enam bulan, kesemua zat besi itu mulai habis digunakan. Jadi penting bayi makan makanan yang kaya dengan zat tersebut. Oleh itu digalakkan makan daging merah, ikan, telur, kacang, sayuran hijau, bijirin dan aprikot.

Info:
Bayi berusia di bawah enam bulan tidak digalakkan diberi makanan berasaskan gandum.

Sumber: Pa & Ma, April 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan