Senarai Semak Persediaan Awal Menyusukan Bayi Susu Ibu


Seperti yang umum sedia maklum, susu ibu mengandungi sejuta khasiat dan manfaat untuk si manja yang semakin membesar. Dalam enam bulan pertama kelahiran, anda sangat digalakkan menyusukan bayi secara eksklusif. 

Setelah melalui fasa pertama ini, anda amat disyorkan  untuk meneruskan penyusuan susu ibu sehingga usia anak mencecah sekurang-kurangnya dua tahun. Dalam meniti tempoh ini, anda tentu sahaja memerlukan kelengkapan asas dan peralatan sokongan dalam usaha menjayakan penyusuan susu ibu.

Paling penting, kebanyakan kelengkapan yang perlu disediakan ini merupakan pelaburan di masa akan datang, memandangkan kos yang dikeluarkan hanya sekali seumur hidup.

1) Pam
Pakar laktasi mengesyorkan agar ibu-ibu menyusu menggunakan pam yang boleh mengendalikan dua buah corong payudara bagi membolehkan anda melakukan pengepaman berganda dalam satu-satu masa. Aspek penting yang dititikberatkan dalam membeli pam payudara ialah jenis pekerjaan. Anda perlu selarikan dengan keperluan diri yang mungkin perlu kerap bekerja di luar kawasan atau hanya bekerja sepenuh masa di pejabat.

Antara ciri-ciri pam yang baik perlu anda ketahui ialah ia mampu mengumpul stok perahan susu ibu dalam kuantiti yang banyak dalam masa singkat, harganya berbaloi bersesuaian dengan spessifikasi rekaan, mudah dibawa ke mana-mana dan mempunyai jaminan daripada syarikat pengeluarnya.

Anda juga boleh menggunakan tangan untuk memerah susu yang dikenali sebagai Teknik Marmet. Namun kaedah ini memakan masa dan tidak efektif untuk anda yang berkerjaya.

2) Botol
Seelok-eloknya dapatkan botol yang bersaiz 5oz untuk kegunaan sewaktu mengepam susu. Ia lebih senang dikendalikan kerana mudah untuk anda memegangnya ketika mengepam. Dalam pada itu, kebanyakan pam yang ada di pasaran mempunyai adaptor yang boleh memuatkan kedua-dua jenis botol standard dan leher lebar dengan pam. Jadi, tiada masalah jika anda memilih untuk menggunakan samada botol jenis standard atau leher lebar.

3) Bekas penyimpanan susu ibu
Pastikan botol atau beg plastik bebas BPA. Walau bagaimanapun pada masa kini, ramai yang gemar menggunakan plastik steril untuk menyimpan perahan susu ibu. Hal ini kerana ia mampu menjimatkan lebih banyak ruang berbanding penggunaan botol plastik.

4) Beg pendingin
Tidak kira beg pendingin bersaiz besar, sederhana atau kecil, anda perlu memastikan ia mempunyai kualiti penebat dingin yang berkualiti agar berupaya untuk menempatkan perahan susu ibu anda sepanjang berada di pejabat sebelum pulang ke rumah.

5) Pek ais
Pek ais yang mencukupi diperlukan untuk membolehkan anda menyimpan susu ibu perahan dalam tempoh yang lama. Biasanya tiga pek ais diperlukan untuk dimuatkan di dalam beg pendingin bersaiz sederhana. Jika beg pendingin anda bersaiz besar, anda mungkin memerlukan lebih daripada itu.

6) Poncho menyusu
Anda memerlukannya ketika mengepam di pejabat bagi mengelakkan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya didedahkan kepada umum dapat dilihat oleh khalayak. Malah ia akan digunakan untuk menyusukan bayi di kawasan awam.

7) Pakaian menyusu
Dapatkan koleksi pakaian menyusu yang mempunyai ruang bukaan tertentu bagi membolehkan anda menyusu atau mengepam dengan selesa. Apa yang paling penting ialah anda perlu mendapatkan pakaian menyusu yang dapat memberi keselesaan kepada diri anda sendiri dan bayi juga.

8) Bantal menyusu
Bantal ini penting untuk kegunaan awal selepas kelahiran bayi sulung. Memandangkan anda mungkin kekok untuk menyusu, jadi bantal ini dapat membantu. Malah ia juga penting dimiliki anda yang bersalin secara caesarean. Bantal ini bagus kerana membolehkan anda dan bayi mengekalkan keselesaan yang optimum sepanjang proses penyusuan.

Anda hanya perlu meletakkan bayi dalam posisi yang betul ketika menyusu. Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan kesakitan dan tekanan yang dialami di bahagian belakang tubuh, leher, lengan dan bahu.

9) Peti sejuk dingin beku
Ruang dingin beku, peti sejuk sedia ada mungkin tidak mampu memuatka stok simpanan perahan susu ibu anda kelak. Apatah lagi perkongsian ruang antara bekalan susu ibu dengan bahan-bahan mentah seperti ayam, daging lembu dan ikan berkemungkinan mendedahkan stok anda kepada bahan-bahan tercemar sehingga boleh mencemarkan kualiti susu.

10) Pad payu dara
Produk ini penting untuk dimiliki bagi membolehkan lelehan susu ibu dapat diserap dengan baik. Paling penting ia dapat mengelakkan pakaian anda daripada basah ataupun kotor dengan kesan tompokan lelehan susu ibu.

11) Coli menyusu
Sebaik-baiknya dapatkan coli yang diperbuat daripada bahan yang lembut seperti kain kapas. Hal ini kerana ia lebih selesa berbanding jenis sintetik. Dalam pada itu, adalah diingatkan agar anda tidak menggunakan coli berdawai kerana coli ini akan menyebabkan saluran susu tersumbat. Tanpa disedari akan menyebabkan mengalami masalah lain yang boleh mengganggu kelancaran proses penyusuan.

Aksesori lain:
Sapu tangan: Mudah untuk mencuci dan mengelap susu yang tertumpah semasa mengepam atau menanggalkan pam.

Berus botol berspan: Ia lembut pada botol dan memudahkan kerja-kerja mencuci.

Beg berjaring: Botol, corong pam payudara dan lain-lain mudah dikeringkan setelah dicuci apabila dimasukkan ke dalam beg sebegini.

Sumber: Pa& Ma, April 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan