Masalah Kencing Kotor

kencing kotor
Tentu ramai wanita pernah mengalami rasa sakit ini. Kesakitan apabila membuang air kecil menjadikan proses tersebut pengalaman yang memeritkan. Wanita yang baru lepas bersalin lebih mudah untuk mendapat masalah kencing kotor dan ia adalah antara penyebab sakit dan demam selepas bersalin.

Kencing kotor bermaksud jangkitan kuman pada sistem saluran kencing termasuk buah pinggang. Kebanyakan kencing kotor adalah jangkitan kuman pada pundi kencing, dan jangkitan ini tidak dirawat ia boleh merebak ke buah pinggang. Bila seseorang itu mendapat masalah ini, biasanya dia akan mengalami rasa sakit dan pedih semasa membuang air kecil, kerap kali kencing dan kencing yang tidak lawas.

Wanita berisiko
Jika jangkitan sudah merebak ke buah pinggang seseorang itu akan mengalami demam yang tinggi dan sakit di bahagian belakang. Kadang kala boleh rasa loya dan muntah-muntah. Secara umumnya wanita lebih senang dijangkiti masalah kencing kotor kerana saluran air kencing mereka pendek. Manakala, wanita hamil dan wanita yang baru lepas bersalin lebih tinggi risiko untuk mendapat masalah ini. Kebanyakan masalah kencing kotor adalah disebabkan oleh kuman yang merebak dari luar dan kencing tertahan.

Biasanya jangkitan ini berlaku dalam kalangan ibu hamil bahkan selepas bersalin, kerana semasa hamil, salur kencing urethra tertekan oleh bayi yang membesar menyebabkan kencing tertahan, dan semasa proses bersalin mungkin berlaku kecederaan atau trauma urethra menjadikannya bengkak dan lebam.

Dalam masa yang sama, ibu mengalami sakit pada luka bersalin/episiotomi menyebabkan dia menahan kencing. Jika ibu ada mengambil ubat penahan sakit melalui epidural, epidural boleh menyebabkan rangsangan saraf ke pundi kencing terganggu seterusnya ibu tidak terasa hendak kencing. Urinary retention ini boleh mendedahkan seseorang itu kepada masalah kencing kotor.

Risiko pesakit
Kebanyakan masalah kencing kotor adalah jangkitan kepada pundi kencing. Jika jangkitan di peringkat ini tidak dirawat dengan sempurna, jangkitan boleh merebak ke buah pinggang yang boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang dalam jangka masa yang panjang.

Rawatan kencing kotor adalah dengan mengambil antibiotik untuk membunuh kuman. Dalam masa yang sama ubat penahan sakit, ubat untuk melawaskan kencing boleh diambil. Tidak kurang penting juga seseorang itu mesti minum banyak air. 

Jika seseorang itu kerap mendapat masalah kencing kotor, satu ujian terhadap sistem saluran kencing perlu dibuat untuk memastikan tiada masalah dengan saluran kencing itu sendiri. Pesakit boleh menjalani ujian cystoscopy atau intravenous urogram (IVU). Ini biasanya tidak melibatkan kemasukan ke hospital atau pembedahan dan boleh dilakukan dalam tempoh satu hari.

Mencegah masalah kencing kotor
  • Memastikan minum air yang cukup dan jangan menahan kencing iaitu bila ada rasa untuk kencing terus pergi kencing.
  • Air minuman membantu mencairkan air kencing anda dan memastikan bahawa anda akan membuang air kecil lebih kerap- membenarkan bakteria akan dibuang dari saluran kencing anda sebelum jangkitan boleh mula.
  • Ibu-ibu yang baru lepas bersalin, pastikan kebersihan bahagian kemaluan/ perinium dijaga dengan sempurna.
  • Mulakan mengelap air kencing dari depan ke belakang. Ianya membantu mencegah bakteria di bahagian dubur daripada merebak ke faraj dan uretra.
  • Kosongkan pundi kencing anda sejurus selepas persetubuhan. Juga, minum segelas penuh air untuk membantu bakteria dikeluarkan.
  • Elakkan produk feminin yang berpotensi membawa mudarat seperti menggunakan semburan deodoran atau lain-lain produk feminin, seperti douches dan serbuk, di kawasan kemaluan kerana ini boleh merengsakan uretra.
Sumber: Pa & Ma, Disember 2012

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan