Punca Kandungan Besar

Berat bayi yang melebihi 4.5kg dianggap sebagai besar berbanding purata saiz bayi normal iaitu 3.4kg. Kajian menunjukkan bahawa lima hingga 10 peratus kandungan bersaiz besar setelah ujian ultrabunyi dilakukan.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menjadi punca kepada masalah bayi besar. Salah satunya ialah faktor genetik iaitu jika anda dilahirkan sebagai bayi bersaiz besar, maka bayi yang dikandung pun berisiko untuk bersaiz besar. Tahap gula dalam darah yang tidak dikawal dengan baik seperti diabetis ketika hamil merupakan antara punca kepada masalah yang berlaku.

Faktor-faktor lain yang boleh meningkatkan risiko bayi besar dipercayai turut berpunca daripada etnik di mana wanita yang berdarah Sepanyol lebih berisiko tinggi. Antara lain termasuklah obesiti, indeks jisim badan (BMI) yang tinggi di awal kehamilan, kenaikan berat badan yang terlalu banyak ketika hamil dan terlebih hari lebih daripada minggu daripada tarikh jangkaan bersalin. Tidak terkecuali jantina bayi turut memainkan peranan dalam menentukan saiz bayi. Kandungan lelaki dikatakan lebih berisiko tinggi untuk bersaiz besar berbanding bayi perempuan.

Ketahui risikonya
Dengan kehamilan bayi besar, terdapat beberapa masalah yang bakal timbul. salah satunya ialah kesukaran ketika melalui proses kelahiran kelak.

1) Perineum koyak mahupun kehilangan darah yang banyak
Kesukaran kelahiran yang dialami juga boleh menyebabkan berlakunya kecederaan semasa lahir. Ini termasuklah pendarahan di bawah kulit kepala, patah tulang dan lemah atau lumpuh anggota tangan iaitu Erb's Palsy yang berkait rapat dengan kecederaan saraf flexus berhampiran dengan bahu.

Terdapat juga risiko kecil bayi mengalami masalah-masalah seperti shoulder dystocia sewaktu lahir di mana bahunya tersekat di tulang pubik. Hal ini sangat jarang berlaku namun tetap serius dan memerlukan perhatian serta merta bagi mengelakkan kecederaan teruk mahupun kematian bayi.

2) Antara lain, bayi bersaiz besar memerlukan anda melahirkan secara caesarean. Kebiasaannya, apabila doktor mengesyaki bayi bersaiz besar, dia akan menyarankan kelahiran secara pembedahan dilakukan agar dapat mengelakkan komplikasi-komplikasi yang mungkin boleh meragut nyawa bayi mahupun diri anda sendiri. Alternatif lain selain daripada kelahiran secara caesarean, anda mungkin diberi pilihan untuk menerima ubat cetusan kontraksi (induce) lebih awal daripada tarikh jangkaan bersalin. Walaubagaimanapun, jika hal ini berlaku, anda masih berpeluang untuk melahirkan bayi secara normal.

Kajian yang pernah dijalankan menunjukkan bahawa 88 peratus wanita yang disyaki menghamilkan bayi bersaiz besar berjaya melalui proses kelahiran secara normal. Jika anda sudah melebihi tarikh jangkaan bersalin, ada kemungkinan doktor akan memberi ubat cetusan kontraksi. Jika ia disarankan kepada anda, ketahui sebabnya.

Bagi kebanyakan wanita yang hamil dengan bayi bersaiz besar, dia tidak mendapat apa-apa faedah daripada ubat cetusan kontraksi yang diberikan. Sama juga halnya dengan bayi. Ia tidak mendatangkan apa-apa kebaikan pun untuk kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, jika menghidap diabetis, maka anda tidak dapat mengelakkan diri daripada mengambil ubat cetusan kontraksi.

Dengan mencetuskan sakit kelahiran lebih awal, ia dapat mengurangkan risiko komplikasi kelahiran yang lainnya. Sehubungan itu, proses bersalin yang terlalu lama boleh menyebabkan kekurangan oksigen dibekalkan kepada bayi. Ia juga berkemungkinan boleh menyebabkan kecacatan fizikal dan mental dalam jangka masa yang akhirnya menjadi penyebab kehilangan upaya kekal ke atas diri bayi yang bakal dilahirkan.

Kesan selepas kelahiran
Kebanyakan bayi yang dilahirkan bersaiz besar adalah normal melainkan dia mengalami shoulder dystocia semasa dilahirkan. Dia mungkin akan melalui beberapa masalah kesan daripadanya. Shoulder dystocia boleh mengakibatkan tulang selangkanya cedera hingga memberi kesan kepada saraf di bahu dan lengan.

Kerosakan saraf boleh berlaku di antara 4%-16% di kalangan bayi yang mengalami shoulder dystocia. Dalam pada itu, masalah ini lebih cenderung untuk berlaku kepada bayi yang memerlukan banyak bantuan saat dia dilahirkan. Walaubagaimanapun, dalam kes tertentu, ia juga boleh disebabkan oleh tekanan kontraksi yang terlalu kuat.

Sekiranya bayi tidak mengalami kerosakan saraf, dia biasanya berupaya untuk pulih sepenuhnya dengan menjalani rawatan tertentu. Tulang selangka yang patah juga boleh sembuh tanpa sebarang masalah lainnya.

Info:
Jika anda pernah mengandungkan bayi besar di kehamilan terdahulu,anda berisiko tinggi untuk mengalami hal yang sama di kehamilan seterusnya.
Sumber: Pa& Ma, November 2012

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan