Punca Ketidaksuburan

waktu subur
Selepas enam bulan mencuba untuk hamil namun gagal, anda dan suami harus mendapatkan pemeriksaan doktor bagi mengenal pasti punca ketidaksuburan di kedua-dua belah pihak. Ketahuilah bahawa lebih kurang 1/3 masalah ketidaksuburan dikaitkan dengan wanita. 1/3 lagi berpunca daripada lelaki manakala selebihnya adalah gabungan faktor-faktor yang tidak dapat dikenal pasti.

WANITA
1) Gangguan telur
Keseimbangan hormon penting untuk hamil. Hormon yang tidak seimbang mengganggu dalam proses ovulasi hingga menyebabkan telur tidak matang. Keseimbangan hormon boleh terganggu apabila anda mempunyai berat badan yang terlalu kurang atau terlalu berat; mengalami perubahan berat badan mendadak dalam masa yang singkat mahupun kelenjar tiroid tidak berfungsi dengan baik. Oleh itu, ujian hormon dapat membantu punca dikenal pasti.

2) Saluran fallopio tersumbat
Masalah ini berlaku mungkin disebabkan jangkitan kuman yang menyebabkan sebahagian atau sepenuhnya tiub fallopio tersumbat. Antara sebab lain yang mungkin berlaku ialah kandungan luar rahim di mana janin menempel di tiub fallopio dan bukannya rahim atau ia disebabkan oleh endometriosis. Ujian HSG atau Laparoshopi (hysterosalpingogram) dapat mengenal pasti punca masalah ini.

3) Endometriosis
Ia berlaku apabila endometrium (tisu dari selaput dalam rahim) berkembang dan tumbuh di luar rahim. Mungkin terdapat sedikit tisu endometrium yang melalui tiub fallopio ke ruang perut semasa kitaran haid. Hal ini menyebabkan berlaku radang setempat yang menyebabkan organ berdekatan perut melekat sesama sendiri dan menyebabkan kesakitan haid. Laparoskopi akan membantu punca dikenal pasti.

4) Antibodi menyerang
Dalam kes yang jarang berlaku ini,tubuh tidak dapat mengenal pasti sel telurnya dalam sistem imunisasi akan membentuk antibodi yang akan menyerang sel gamet (telur  dan sperma). Kes di mana antibodi menyerang sel sperma lelaki lebih banyak berlaku. Disebabkan itu, sel spermatidak dapat memasuki bahagian rahim dan persenyawaan tidak dapat dilaksanakan.

5) Masalah rahim
Fibroid rahim adalah ketumbuhan yang sering terjadi kepada wanita. Ia adalah keadaan di mana terdapat ketumbuhan di dalam rahim (tidak mengakibatkan kanser) yang terbentuk daripada lapisan otot dan tisu penghubung di dalam rahim. Ia boleh membesar dan menyebabkan kesakitan semasa haid. Pemeriksaan ultrasound boleh membantu mengenal pasti punca masalah.

LELAKI
1) Sperma tidak matang
Masalah berlaku apabila lelaki tidak dapat menghasilkan sperma normal yang bergerak bebas dan mencukupi. Kegagalan menghasilkansperma mencukupi mungkin berpunca daripada jangkitan kuman semasa kanak-kanak. Pembuluh darah yang membengkak pada alat kelamin boleh membawa kepada masalah kualiti sperma yang rendah.

Penyebab lain adalah gangguan hormon, tekanan perasaan, faktor alam sekitar, masalah keturunan seperti kerosakan pada genetik. Jangkitan virus seperti selsema juga boleh membawa kepada kekurangan kualiti sperma, tetapi ia hanya bersifat sementara. Analisis sperma diperlukan untuk mengetahui punca masalah tersebut.

2) Gangguan pengangkutan sperma
Dalam 4% dalam kes-kes ketidaksuburan lelaki, air mani mencukupi dapat dihasilkan tetapi tidak dapat memasuki tubuh wanita melalui pemancutan kerana salur duktus yang mengangkut air mani tersumbat. Situasi ini sama seperti masalah salur tiub fallopio yang tersumbat.

Info:
Air mani dikatakan berkualiti normal apabila terdapat lebih 20 juta sperma dalam setiap 1 mililiter air mani.
Sumber: Pa & Ma, Januari 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan