Rawatan Kesuburan Bantu Dapatkan Anak

kaedah mendapatkan anak
Setiap pasangan berkahwin pasti mengimpikan untuk mempunyai zuriat sendiri. Tidak dinafikan ada yang telah lama mendirikan rumah tangga tetapi masih belum dikurniakan anak. Berita baik buat anda! Dengan kecanggihan teknologi perubatan, pelbagai kaedah rawatan moden yang disediakan.

Antara langkah-langkah awal yang perlu diambil oleh pasangan yang ingin membuat rawatan kesuburan adalah seperti berikut:
  • Suami perlu membuat pemeriksaan sperma
  • Isteri perlu membuat ultrasound bagi memeriksa keadaan rahim dan juga kilang telur
  • Isteri juga perlu membuat pemeriksaan hormon untuk mengetahui adakah  ia seimbang dan juga mempunyai tahap hormon yang baik
  • Isteri perlu membuat pemeriksaan untuk memastikan tiub fallopio tidak tersumbat

Setelah anda dan pasangan melakukan pemeriksaan tersebut, doktor akan menyarankan pilihan rawatan tang sesuai dengan masalah kesuburan yang dihadapi.

Peringkat pertama yang akan disarankan oleh doktor ialah cara semulajadi yang membabitkan komitmen daripada pasangan masing-masing. Antara saranan yang mungkin diberikan adalah seperti "bersama" pada waktu subur, membuat pemeriksaan air kencing atau juga memberi presekripsi ubat kesuburan kepada pasangan yang bermasalah.

Ada pelbagai kaedah rawatan moden untuk anda dan pasangan yang bermasalah. Sains memanggilnya sebagai Assisted Reproductive Technique (ART) iaitu terapi kesuburan di mana telur dan sperma dimanipulasi untuk menghasilkan janin. Terdapat tiga kaedah rawatan lain yang akan disarankan sebagai pilihan kepada pasangan yang bermasalah Intrauterine Insemination (IUI), Invitro Fertilisation (IVF) dan Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI).

Intrauterine Insemination (IUI)
IUI adalah kaedah ringkas yang tidak mengambil masa lama. Pasangan yang bermasalah akan disuntik dengan Follicular Stimulating Hormone (FSH) untuk merangsang penghasilan telur yang baik. Si isteri perlu disuntik antara 8-10 hari dengan FSH.

Kemudian , si isteri akan disuntik dengan HCG iaitu ubat yang bertanggung jawab untuk ovulasi berlaku. Setelah ovulasi berlaku (telur membesar sehingga 18mm), sperma daripada suami yang dikumpulkan melalui proses ejakulasi akan disuntik ke dalam rahim isteri selepas 36 jam. Setelah suntikan dibuat, anda dan pasangan boleh membuat ujian kehamilan selepas tiga minggu. Kadar kejayaan pasangan yang melakukan kaedah ini adalah antara 15-20%.

Invitro Fertilisation (IVF)
IVF adalah satu kaedah reproduksi kompleks di mana persenyawaan telur dan sperma dibuat di luar rahim dan kemudiannya dimasukkan ke dalam rahim. Sama juga seperti IUI, isteri akan diberikan suntikan FSH untuk merangsang penghasilan telur dan disuntik pula dengan HCG untuk mematangkan telur. Pasangan yang akan menjalani IVF tidak dibenarkan untuk "bersama" selama lebih kurang 3-5 hari. Ia bertujuan untuk mendapatkan sperma yang berkualiti untuk disenyawakan.

Apabila sperma suami diambil, ia akan dihantar ke makmal untuk diproses. Hanya sperma yang berkualiti akan dipilih dan disenyawakan dengan telur yang kemudiannya akan diletakkan dalam inkubator. Pada hari ke-2, ke-3 atau ke-5, telur yang sudah menjadi embrio akan dimasukkan ke dalam rahim dengan harapan terjadinya kehamilan kepada si isteri. Selepas dua minggu rawatan dilakukan, barulah isteri melakukan ujian darah untuk mengetahui keberkesanan rawatan tersebut. Antara langkah-langkah terbabit dalam rawatan IVF ini termasuklah:
  • Pengovulasian (merangsang ovari supaya menghasilkan lebih daripada satu ovum atau telur untuk satu kitar haid)
  • Pengeluaran telur
  • Persenyawaan
  • Pengkulturan embrio
  • Pemindahan embrio

Intracytoplasmic Sperm Injection (ICSI)
ICSI adalah rawatan yang digunakan jika si suami tidak dapat menghasilkan sperma yang baik. Sperma yang berkualiti akan disuntik terus kepada telur tertentu untuk disenyawakan. Rawatan ini juga dilakukan kerana kegagalan IVF.

Apa-apa pun caranya, jangan sekali berputus harap kerana rezeki itu datangnya daripada Tuhan. Apa yang penting anda dan pasangan telah berusaha dan selebihnya serahkan sahaja kepada-Nya.

Set kesuburan Shaklee klik sini.

Sumber Pa&Ma, Januari 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan