Susu Ibu Cair?


Dalam keadaan biasa, susu ibu di peringkat awal adalah cair manakala di peringkat akhir berubah menjadi pekat. Usahlah khuatir jika anda mengalami masalah susu ibu cair. Susu ibu tidak sama seperti susu formula yang sememangnya kelihatan pekat. Ketahuilah bahawa susu ibu yang kelihatan cair adalah perkara biasa.

Keadaan ini bergantung kepada beberapa faktor tertentu seperti pemakanan ibu dan cuaca. Namun, tidak bermakna susu yang cair itu kurang berkhasiat. Hakikatnya, ia cukup sempurna! Keunikan susu ibu yang perlu diketahui ialah ia akan berubah mengikut cuaca persekitaran anda. Sekiranya hari panas, susu yang dihasilkan lebih cair daripada biasa.

Hal ini berlaku kerana ia membolehkan bayi anda mendapatkan lebih banyak air bagi menghilangkan rasa dahaga di samping mengelakkan dirinya daripada mengalami penghidratan. Jika cuaca sejuk pula, susu menjadi lebih pekat dan berlemak berbanding biasa. Ini bagi membolehkan si kecil mendapat tenaga, memperoleh lebih banyak khasiat serta lebih kenyang ketika berada dalam keadaan sejuk.

Sama juga halnya apabila anda tidak mengepam untuk mengeluarkan susu kerana terlalu sibuk sehingga perlu melangkau satu sesi pemerahan. Situasi sebegini menyebabkan berlakunya proses osmosis yang akhirnya menjadikan susu yang anda perah di sesi pemerahan berikutnya kelihatan cair. Satu lagi fakta penting perlu anda tahu ialah apabila suhu dalaman tubuh panas, susu yang diperah juga akan kelihatan cair.

Jika diamati susu ibu perahan kelihatan cair itu masih mempunyai lapisan lemak. Ini bererti susu ibu masih kaya dengan khasiat walaupun ia tidak pekat. Setiap apa yang berlaku pada tubuh adalah proses biologi. Ia merupakan tanda amaran yang perlu anda teliti dengan sebaik-baiknya dan seterusnya mengambil tindakan untuk mengatasi masalah yang dihadapi.

Amalan meminum air dalam jumlah yang banyak akan membantu buah pinggang menjalankan fungsinya dengan baik serta melancarkan sistem badan. Sama juga halnya dengan susu ibu. Oleh yang demikian, anda harus mengambil langkah berjaga-jaga dengan minum lebih banyak air dan makan lebih banyak makanan yang sihat dan berkhasiat.

Suplemen
Perlu diingatkan suplemen yang diambil sama sekali tidak membantu anda menghasilkan lebih banyak susu ibu! Bersandarkan asas pengeluaran susu ibu, ia terjadi hasil daripada rangsangan ke atas payudara dan tindak balas hormon di dalam tubuh.

Anda perlu sentiasa berkeadaan sihat dan gembira dalam usaha melancarkan penghasilan susu ibu! Itulah sebenarnya punca susu dapat dihasilkan dalam jumlah yang banyak. Ia bukan kerana suplemen. Suplemen yang diambil sebenarnya baik kerana ia membantu anda menghasilkan susu dalam jumlah yang mencukupi untuk keperluan bayi.

Pengambilannya melengkapkan kedua-dua keperluan tubuh untuk menghasilkan susu ibu iaitu dengannya anda jadi lebih sihat dan gembira. Diingatkan lagi bahawa suplemen tidak boleh menjadikan susu anda menjadi pekat tetapi rangsangan hormon gembira setelah pengambilan suplemen adalah penyebabnya.

Padah tidak kosongkan payudara
Susu ibu yang dibiarkan terlalu lama di dalam kelenjar susu akan menyebabkan susu yang dikeluarkan menjadi cair. Tahukah anda bahawa baki susu ibu daripada sesi penyusuan terdahulu akan menjadi lebih cair kerana lemak tersekat di sel membran payu dara. Maka dengan itu, susu yang cair akan bertambah banyak jika anda tidak benar-benar mengosongkan payudara setiap kali sesi penyusuan berlaku.

Fakta
  • Ketika cuaca sejuk, susu lebih pekat. Ketika cuaca panas pula, susu lebih cair untuk memenuhi keperluan semasa si kecil.
  • Ketika awal sesi penyusuan, susu lebih cair dan dikenali sebagai foremilk. Ia lebih cair untuk menghilangkan rasa dahaga anak anda.
  • Ketika di sesi akhir penyusuan, susu lebih berlemak. Keadaan ini dikenali sebagai hindmilk. Hindmilk lebih tebal, berlemak, berkhasiat tinggi dan berupaya untuk mengenyangkan si manja anda.
Info
Ketika anda gembira, hormon oksitosin akan dihasilkan. Hormon inilah yang akan merangsang pengeluaran susu ibu.
Sumber: Pa & Ma, Januari 2013

0 Pembaca Setia:

Catat Komen