Pemberian Susu Perahan Ibu: Panduan Ajar Guna Botol Susu Pada Bayi

panduan ajar botol susu pada bayi

Anak yang menolak botol sering merisaukan ibu yang akan kembali bekerja. Sebenarnya, cabaran ini boleh diatasi jika anda mendapat bimbingan yang betul berkenaan cara untuk memberikan botol kepada bayi.

Sebelum itu, pastikan apabila bayi sudah boleh menerima botol, jangan pula ia dijadikan amalan. Gunakan botol hanya apabila anda terpaksa berpisah dengan bayi! Bila bersama bayi, anda perlu menyusukannya terus dari payudara. Anda tidak seharusnya memberikan botol sebagai satu tabiat harian jika anda tidak selalu berpisah dengan bayi kerana ia akan mempengaruhi penghasilan susu ibu.

Walaubagaimanapun, untuk memastikan bayi tidak lupa dan dapat terus menerima botol, anda dinasihatkan untuk memberikannya botol sekurang-kurangnya 1 atau 2 kali dalam seminggu.

Paling penting! Jangan memaksa bayi kerana ini akan menyebabkan dia menolak botol sama sekali dan menjadi marah setiap kali sesuatu yang baru diperkenalkan kepadanya. Anda perlu banyak bersabar dan jangan berputus asa kerana hal ini memerlukan banyak latihan.

Sebagai panduan, jangan memberi botol lebih daripada 10 minit setiap masa. Jika bayi marah dan menangis, anda harus berhenti dan cuba lagi di lain masa. Ketahuilah! Jika bayi menolak botol sama sekali anda boleh menggunakan kaedah lain seperti menggunakan sudu, cawan, picagari atau finger feeder iaitu meletakkan tiub halus di jari anda.

Maklumat berikut berguna agar dapat memastikan anda memberi botol dengan betul:

1) Susu botol hanya diberi jika bayi menunjukkan tanda lapar dan tidak mengikut jadual.

2) Dipangku dalam posisi duduk dan bukannya berbaring. Posisi ini adalah sesuai untuk memastikan pengambilan susu dari botol adalah pada kadar yang sesuai. Ini dinamakan paced bottle feeding. Untuk pengetahuan anda, menyusu ketika berbaring meningkatkan risiko gigi rosak dan jangkitan telinga.

3) Mengubah posisi botol susu dari sebelah bahagian mulut ke bahagian lain. Ini dapat mengelakkan bayi hanya gemar sebelah payudara sahaja ketika menyusu.

4) Menyusu hanya 10-20 minit di setiap sesi. Ini bagi meniru langkah penyusuan susu ibu. Pengasuh bayi perlu menyediakan susu dalam kuantiti yang sesuai untuk dihabiskan dalam tempoh 10-20 minit.

5) Biarkan bayi memasukkan sendiri puting ke dalam mulutnya berbanding pengasuh menolak puting ke dalam mulutnya. Usap bibir bayi dari atas ke bawah dengan puting untuk menggalakkan dia membuka luas mulutnya.

6) Pengasuh sepatutnya kerap berhenti seketika sewaktu menyusukan bayi dengan meniru rentak penyusuan susu badan. Langkah ini sangat bagus untuk mengelak bayi keliru puting.

7) Bayi tidak sepatutnya dibiarkan menghabiskan baki susu di dalam botol. Jika dia meleraikan botol dari mulutnya, itu bermakna dia sudah kenyang.

Sumber: Berpantang Cara Alami, MS: 116& 117

0 Pembaca Setia:

Catat Komen