Tolong! Kenapa Susu Saya Tidak Cukup? Masalah Berhubung Dengan Bayi

Penyusuan dengan set triple M

1) Bayi saya tidak mahu menyusu badan!
Yang penting didahulukan: periksa dengan pakar pediatrik untuk memastikan bayi anda tidak sakit atau cedera. Jika bayi dalam keadaan baik dia mungkin enggan menyusu kerana rasa cemas - dia dan anda! Cuba bertenang. Susukanlah bayi di dalam bilik yang sunyi dan berikan sepenuh perhatian kepadanya. Tenangkan bayi dengan sentuhan kulit ke kulit di antara penyusuan. Untuk menenangkannya, elakkan bayi daripada dikerumuni oleh ahli keluarga yang datang berziarah, melakukan perjalanan jauh atau mengalami perubahan jadual yang ketara.

2) Bayi saya menangis dan meragam. Apa yang patut saya buat?
Bayi mungkin meragam ketika tumbesaran meningkat atau sebelum pancutan susu kerana dia tidak sabar dengan aliran susu yang laju. Dia mungkin meragam pada sebelah payudara kerana susu lebih banyak pada sebelah payudara sahaja. Jika bayi meragam pada penghujung penyusuan, ini mungkin menandakan dia sudah kenyang, mahu disendawakan atau sekadar mahu menghisap.

Keadaan ini juga mungkin berpunca daripada pemakanan anda. Adakah anda mengambil makanan tertentu yang sama pada setiap kali bayi anda meragam? Jika ya, berhenti mengambil makanan tersebut selama seminggu dua dan perhatikan samada keadaannya bertambah baik.

Bayi meragam pada waktu petang merupakan satu perkara biasa. Cuba susukannya dalam kuantiti yang sedikit secara kerap dan disertai dengan dakapan dan membawanya berjalan-jalan.

3) Aduh! Bayi saya menggigit puting ketika menyusu
Apabila ini terjadi, alihkan bayi perlahan-lahan dan katakan dengan tegas, "Jangan gigit mama." Serahkannya kepada orang lain untuk seminit sebelum mengambilnya semula untuk disusukan. Ini mengajarnya bahawa dia tidak dapat menyusu jika dia menggigit.

Jika bayi menggigit pada penghujung penyusuan, cuba lepaskan hisapannya lebih awal sedikit daripada kebiasaannya (setelah dia kenyang).

Bayi mungkin menggigit jika dia mengalami selsema atau hidungnya tersumbat kerana ini boleh menjejaskan cara dia menghisap. Dia juga mungkin menggigit ketika mula tumbuh gigi. Cuba berikannya sesuatu untuk dikunyah sebelum dan di antara penyusuan seperti gegelang gigit, tuala muka yang dibekukan atau jari anda.

4) Bayi saya enggan menyusu apabila dia tidak sihat. Perlukah saya terus cuba menyusukannya?
Sakit tekak atau jangkitan telinga boleh menyebabkan bayi hilang selera. Galakkannya menyusu dengan posisi yang berbeza terutamanya bila dia dalam keadaan tegak. Suakan payudara anda kepadanya pada setiap jam. Jika bayi masih enggan menyusu, cuba berikannya perahan susu menggunakan sudu.

5) Bagaimana saya boleh tahu jika bayi saya mengalami cirit-birit?
Bayi anda mungkin membuang air besar beberapa kali dalam sehari. Najisnya lembut, berwarna kuning cair atau coklat keemasan, cair dengan sedikit berbiji. Selagi najisnya mempunyai tekstur dan warna yang normal, usah khuatir dengan kekerapannya membuang air besar.

Akan tetapi, jika bayi anda tiba-tiba membuang air besar dengan kerap, atau jika najisnya cair atau berair dan berbau busuk, dia mungkin mengalami cirit-birit. Cirit-birit juga boleh menyebabkan punggung bayi menjadi merah.

Cirit-birit menyebabkan kehilangan cecair yang banyak dari tubuh dan boleh mengancam nyawa bayi. Jadi, segeralah membawa bayi berjumpa doktor.

6) Bayi saya di dalam hospital. Adakah saya masih boleh menyusukannya?
Tentu boleh. Sila maklumkan pasukan penjagaan kesihatan tentang keputusan anda untuk menyusukan bayi. Jika bayi tidak boleh menghisap, mereka akan mengajar anda cara untuk memerah susu untuk bayi anda.

0 Pembaca Setia:

Catat Komen