Panduan Bercerai Susu


petua nak ceraikan susu badan

Terdapat 2 maksud untuk istilah bercerai susu iaitu:
1) memperkenalkan makanan pejal kepada si anak semasa usianya 6 bulan
2) cuba menghentikan amalan penyusuan susu ibu pada usia anak mencecah dua tahun atau lebih

Harini saya kongsikan panduan untuk no 2.

1) Kurangkan dahulu, baru berhenti
Kurangkan sesi penyusuan dengan si anak. Sebagai contoh dalam sehari anda menyusu anak sebanyak 10 sesi, kurangkan kepada 8 sesi penyusuan sehari. Selain itu, elakkan daripada meletakkan sesuatu di payudara dengan anggapan anak akan tidak suka menyusu. Langkah ini adalah tidak bijak kerana ia mencederakan emosi  anak dan anda sendiri sebagai ibu.

2) Jangan tawarkan susu ibu. Lengahkan jika diminta
Sewaktu anak sedang leka bermain, anda jangan sesekali memanggil dirinya semata-mata hanya mahu mengajak dia minum susu. Sebaliknya, biarkan dia sibuk mengeksplorasi dunianya ketika sedang bermain.

Sekiranya anak mula meminta susu, lengah-lengahkan masa dengan memberitahunya untuk basuh tangan terlebih dahulu ataupun minum air kosong dahulu.

Selain itu, anda boleh gunakan pendekatan psikologi. Pada usia dua tahun, si anak sudah mampu memahami sekiranya kita memberitahu dia, pakaian anda tidak sesuai untuk membolehkan dia menyusu. Mungkin anda juga boleh memberitahu dia bahawa dia boleh menyusu dalam kereta kerana di tempat awam agak terbuka dan menyebabkan anda malu (walaupun hakikat sebenarnya tidak).

3) Tawarkan minuman lain
Anda boleh menawarkan minuman lain seperti air buah atau air kosong. Sediakan botol minuman yang mempunyai rekaan karektor yang disukai oleh anak anda. Dengan demikian, ia membantu membentuk perasaan suka pada anak anda untuk menjadi kanak-kanak yang semakin membesar.

bekas minum air ada gambar kartun

4) Hentikan penggunaan botol susu. Gunakan bekas air
Pada usia bayi lapan bulan, kebanyakan bayi sudah berupaya untuk memegang sesuatu objek. Gunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin untuk mengajar dia menggunakan bekas air dan minum sesuatu jenis minuman menerusinya. Ia adalah sebagai langkah melatih anak untuk menjadi seorang yang lebih berdikari dan berkordinasi.

5) Penggantian rutin
Perhatikan rutin anak dan cuba gantikan rutin itu. Lazimnya, penyusuan sebelum tidur adalah waktu yang paling sukar untuk dihentikan.

Jadi, bapa boleh memainkan peranannya di sini. Ambil peluang ini dengan menggantikan sesi penyusuan dengan tabiat baru seperti membacakan buku cerita atau melakukan aktiviti melihat bintang  di langit bersama-sama si bapa.

Info:
Selepas bercerai susu, anda perlu memastikan anak mendapat makanan seimbang yang mengandungi nutrisi karbohidrat, protein, lemak dan vitamin bersesuaian.

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan