8 Tip Kendalikan Si Manja (Kerja Rumah Beres!)

Menjadi isteri, ibu dan suri rumah dalam satu masa adalah tanggungjawab yang cukup berat. Apatah lagi dengan membahagikan masa untuk bekerja dan rumahtangga. Tugas bermula seawal pagi dengan menyiapkan keperluan anak-anak, sarapan ke tempat kerja hinggalah malamnya sehinggakan masa untuk diri sendiri diabaikan. 

tips urus rumahtangga

Beberapa tip boleh membantu anda dalam menghilangkan tekanan yang dihadapi dalam menguruskan rumahtangga sekaligus memudahkan tugas anda sepanjang hari. 

Tidur yang cukup 

Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah mendapatkan tidur yang cukup iaitu 8 jam sehari agar anda merasa lebih segar pada waktu pagi. Jangan tidur terlalu lambat untuk mengelakkan anda dalam keadaan ‘bad mood’ kerana kurang rehat. 

Buat jadual 


Anda boleh membuat jadual secara rutin tentang aktiviti anak anda pada waktu pagi. Contohnya, mandi, sarapan dan pergi ke sekolah. Anda juga boleh mengajar anak-anak anda untuk mengikuti peraturan yang telah anda tetapkan. Selain itu, apa yang anda lakukan ini juga akan berjalan dengan lebih teratur. 

Waktu tidur anak 


Mungkin anda jarang tidur pada waktu siang berbanding dengan anak anda. Jadi, inilah masanya untuk anda melakukan kerja-kerja rumah. 

Siapkan pada waktu malam 

Untuk memastikan anda tidak tergesa-gesa waktu pagi, anda boleh membuat persiapan keperluan anak pada waktu malam. Jadi, tugasan waktu pagi sedikit ringan. Pastikan juga anda menyediakan peralatan atau bahan untuk sarapan esoknya seperti hirisan bawang, sayuran dan sebagainya. Sekurang-kurangnya waktu pagi anda tidak kelam kabut. 

Bersihkan secepat mungkin 


Selesai memasak, cubalah untuk membersihkan peralatan secepat mungkin. Anda boleh mencuci pinggan atau pakaian dalam mesin basuh. Atau ketika anda bersiap-siap ke tempat kerja, anda boleh mengemas meja solek atau meja makan. 

Lakukan secara berperingkat 


Jangan terburu-buru untuk melakukan banyak kerja sekaligus. Ambillah masa sekurang-kurangnya 10-15 minit agar anda tidak kehabisan tenaga. Mungkin dalam tempoh berehat, anda boleh bermain-main dengan anak atau berehat seketika tanpa diganggu. 

Ubah aktiviti 

Agar anda tidak cepat bosan, anda boleh cuba untuk mengubah aktiviti yang anda lakukan. Contohnya, anda keluar bersiar-siar dengan keluarga pada hari Sabtu dan hari minggu adalah untuk mengemas rumah. Anda boleh ubah aktiviti itu sebaliknya. Cara ini tidak akan membuatkan anda tertekan. 

Minta pertolongan suami 


Tidak semua kerja rumah dilakukan oleh isteri. Suami juga perlu memainkan peranan dalam menguruskan anak. Minta pertolongannya untuk menjaga anak atau bermain seketika semasa anda menguruskan kerja di dapur. Pada masa yang sama ia boleh membuatkan hubungan bapa dan anak menjadi lebih erat. 

Sumber: Rapi Mac 2015

6 ulasan: