5 Perkara Unik Tentang Bayi yang Baru Lahir


newborn baby

Alam keibubapaan mungkin agak mencabar bagi pasangan yang baru menimang cahaya mata. Apatah lagi, masa begitu mencemburui ibu bapa baru yang dipenuhi persoalan! Sesetengah ibu bapa mungkin segan untuk bertanya mengenai perkara yang remeh seperti cara memandikan dan menidurkan si manja.

Akan tetapi perkara sebegini boleh mengganggu perkara paling penting untuk ibu bapa iaitu mendirikan pertalian kasih dengan si manja. Sebagai panduan untuk menenangkan hati anda, berikut adalah lima perkara unik mengenai bayi yang mungkin merungsingkan tetapi sebenarnya perkara biasa sahaja.

1) Kulit bayi sensitif
Kulit bayi baru lahir adalah 30% lebih nipis daripada kulit orang dewasa, dengan permukaannya mudah terjejas oleh kelembapan dan bakteria. Oleh itu, kulit bayi senang mengalami radang apabila terkena kesan susu dan air liur di sekitar mulut mahupun kelembapan di bahagian punggung yang dikenali sebagai ruam lampin.

Untuk menghindari masalah sebegini, pastikan kulit bayi kekal kering dan bersih. Bersihkan kawasan mulut serta tengkuknya setelah menyusu dan tukar lampin dengan kerap.

2) Berat badan si manja semakin menurun
Lazimnya, berat badan bayi baru lahir akan menurun sebanyak 7-10% pada beberapa hari pertama. Anda tidak perlu risau kerana hal ini adalah disebabkan oleh kehilangan cecair berlebihan dan tidak berkaitan dengan jumlah susu yang diminum! Berat badannya akan meningkat semula selepas dua minggu.

3) Semua bayi dilahirkan dengan rabun jauh
Bayi gemar memandang wajah orang. Mereka boleh melihat dengan jelas sejauh 20 hingga 25sm. Rapatkan muka anda dan berikan senyuman manis apabila bersama si manja!

4) Bayi mungkin tersentak semasa tidur
Bayi sering tersentak ketika tidur. Dia juga mungkin tidur tanpa menutup mata sepenuhnya, dengan mata putih masih kelihatan. Jika ini berlaku, rapatkan kelopak matanya dengan perlahan-lahan.

5) Kulit dan mata putihnya mungkin kelihatan berwarna kekuningan
Bukan mata anda yang tersilap! Hal ini adalah keadaan yang dikenali sebagai jaundis. Ia biasanya masalah ringan yang muncul setelah bayi berusia dua hingga empat hari dan akan hilang dalam masa satu hingga dua minggu.

Jaundis tidak boleh dihindari dan akan hilang dengan sendiri. Namun, sesetengah bayi mungkin memerlukan rawatan fototerapi iaitu si manja perlu diletakkan di bawah sinaran sejenis lampu khas.

Sumber: PA & Ma Okt 13 | MS: 153

0 Pembaca Setia:

Catat Ulasan