Bagaimana mahu berubah daripada tidak menutup aurat dengan sempurna kepada menutup aurat dengan sempurna?
Persoalan ini mungkin sahaja bermain-main di fikiran Muslimah yang berzam untuk berubah ke arah lebih baik. Berikut beberapa tindakan sebagai perkongsian. Lakukan perubahan fasa demi fasa, paling utama istiqamah.
1) Berazam
Niatkan dalam hati, "Ya Allah, aku hamba-Mu yang lemah. Aku ingin menuruti segala perintah-Mu. bantulah aku dalam proses untuk menuruti, taat dan patuh kepada perintah-Mu."
2) Baiki tudung
Lihat tudung yang dipakai. Pastikan tudung tidak jarang atau singkat sehingga menampakkan leher dan dada. Sekiranya tudung nampak bayangan leher , pakai inner di dalam. Lebih praktikal dan selamat, beli tudung yang tidak jarang.
3) Pakai stokin
Kaki sebahagian aurat wanita. Jadi, pakai stokin ketika berada di luar rumah. Jika tidak mahu berstokin, pakai kasut bertutup. Paling penting menutup kaki.
4) Pakai handsock
Kita biasa menyebutnya sebagai handsock atau sarung lengan. Untuk lebih menyempurnakan penutupan aurat, kita tutup pergelangan tangan. Pergelangan tangan sebahagian aurat wanita.
5) Hadir ke majlis ilmu
Mencintai ilmu termasuk usaha mengubah diri menjadi lebih baik. Hadiri majlis ilmu yang dianjurkan di kawasan berhampiran. Hasilnya, jika lama tidak menghadiri majlis ilmu, kita akan rindu. Terasa kosong.
6) Sertai program
Hadiri program-program yang memberi manfaat. Sertai program-program yang mendekatkan diri kepada Allah.Lama-lama kita akan rasa sayang sangat kalau terlepas menyertainya. Mula-mula kita sertai program, lama-lama program yang akan membentuk kita.
7) Istighfar
Banyakkan memohon keampunan daripada Allah. tidak mengapa andai merasakan diri baik atau tidak baik. Yang penting, tindakan selepasnya. Jangan sampai kebaikan yang dirasai membuatkan kita rasa kebaikan yang dilakukan sudah cukup.Jangan pula kesilapan lalu menjadikan kita malas untuk melakukan kebaikan.
8) Perbaharui niat
Hanya niat yang benar dan betul akan melahirkan tindakan yang benar dan betul. Terasa sukar? Ikhlaskan diri dan bersyukur dengan nikmat. Dengan harapan hijab hati sudah terhijab.Jika benar kita mahu berubah, Allah sentiasa melorongkan jalannya. Perubahan sedikit demi sedikit dan berterusan lebih baik daripada berubah drastik namun tidak lama. Berubah tidak mudah, namun hasilnya indah.
Sumber: Solusi | Isu 74